Rabu, 18 April 2012

Sejarah SKMB




SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN MACHANG BUBOK

  • Berdasarkan cerita lisan. Sekolah ini telah diasaskan dalam tahun 1912. Penduduk kampung dengan semangat bergotong-royong telah mendirikan sebuah sekolah di kawasan berbukit di Jalan Gajah Mati. Iaitu lebih kurang 2 kilometer daripada tapak sekolah sekarang.
  • Sekolah asal ini berbumbungkan atap, berdindingkan pelupuh dan berlantaikan papan. Ini terbukti berdasarkan kesan tangga batu yang masih ada hingga ke hari ini. Seramai 15 orang murid lelaki yang belajar bersama dengan 3 orang guru sukarela yang mengajar ketika itu.Sekitar tahun 20an, sekolah ini telah dipindahkan ke suatu kawasan tanah rata berhampiran dengan Sungai Kulim yang tidak jauh daripada sekolah asal. Bangunannya tetap sama dengan bangunan lama tetapi lantainya diperbuat daripada simen. Ketika ini bangku panjang dan meja telah digunakan. Pada masa ini juga telah terdapat murid perempuan yang belajar di sekolah ini.
  • Pada sekitar tahun 30an, sekali lagi sekolah ini telah dipindahkan ke kawasan sekolah sekarang iaitu berhampiran dengan jalanraya. Bangunan dan strukturnya sama dengan bangunan kedua.
  • Kira-kira dalam tahun 1942, sebuah bangunan bertiang konkrit telah dibina dengan bumbungnya daripada genting dan mempunyai kerangka kayu yang kukuh. Ianya kekal hingga hari ini. Pada masa ini beberapa orang guru berpengalaman telah ditempatkan di sekolah ini. Sekolah ini telah menghasilkan cerdik pandai Melayu yang boleh menjadi guru.
  • Tahun 1964 sebuah bangunan baru dua tingkat telah didirikan berhampiran denga bangunan lama. Bangunan ini dilengkapi dengan 4 buah bilik darjah, pejabat, bilik guru besar dan tandas. Dengan adanya bangunan baru ini sekolah dapat beroperasi dengan lebih selesa.
  • Tahun 1986/1987 sebuah lagi bangunan baru dua tingkat dibina bersebelahan bangunan yang sedia ada. Ini menjadikan 3 buah bangunan semuanya. Bangunan baru menempatkan 5 buah bilik darjah, perpustakaan, surau, bilik sumber, 2 buah setor dan tandas.
  • Sehingga tahun 1994, sekolah ini telah dapat menampung seramai 363 orang murid dengan 20 orang guru dan 5 orang kakitangan bukan guru. Tahun 2007 murid sekolah ini telah meningkat kepada lebih  400  orang dengan 13 buah kelas. Sekolah ini telah tidak dapat menampung keperluan semasa kecuali ada pertambahan bangunan kelas.
  • Pada tahun 2008 dua buah bangunan baru setinggi 4 tingkat telah dibina bagi menampung keperluan murid yang semakin ramai.Bangunan ini siap sepenuhnya pada tahun 2011.Murid berada dalam satu sesi sepenuhnya pada tahun 2012.


Tiada ulasan: